I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, November 24, 2014

Dajjal Akan Menguasai Dunia Ketika Mana Tasik Galilee Menjadi Kering...

Kenapa kita perlu meninjau kepada paras air di Tasik atau laut Galilee?. Apa istimewanya Laut ini kepada kita orang Islam? Saya cuba mendapatkan beberapa pandangan dari beberapa sumber yang saya kira boleh dikongsi untuk kebaikan kita semua. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu dari kelemahan penulis ini sendiri. Insya Allah.

Tasik Galilee ini juga dipanggil "Lake of Gennesaret". Juga ada yang memanggil "Lake Kinneret" dan ada yang menyebut "Sea of Tiberias". Ia terletak berdekatan dengan Bukit Golan. Ia merupakan tasik air tawar terbesar di Timur Tengah, dan memiliki ukur lilit sepanjang kira-kira 53 km (33 batu), kira-kira 21 km (13 batu) panjang, dan 13 km (8 batu) lebar. Tasik ini memiliki keluasan sebanyak 166 km², dan kedalaman maksima kira-kira 43 m (141 kaki).


Pada kedalaman 209 meter di bawah paras laut, menjadikan tasik air tawar ini adalah yang kedua terendah di muka Bumi. Laut Mati adalah sebuah tasik air masin yang pertama terendah di bawah paras laut di muka bumi ini. Kedua-dua tasik atau laut ini seolah-olah berkait rapat antara satu sama lain dan mempunyai 'sejarah' yang tersendiri.

Untuk melihat keadaan dan suasana di sekitar Tasik Galilee, kini saya bawa anda semua melayari ke sana bersama Google Map di bawah:


View Larger Map

Diberitakan Tasik ini menuju ke alam 'kontang'. Proses pengontangannya berlaku sejak dari tahun 2000 lagi. Mengikut pemerhatian, proses ini berlaku begitu pantas, bagaimanapun sumber-sumber yang tidak rasmi menyatakan pihak 'Yahudi' telah memohon bantuan badan-badan dunia untuk menaikkan kembali paras tasik ini. Lihat keadaan pasang surut paras air tasik antara tahun 2007 hingga 2010:


Mengikut pengkajian yang telah dibuat, tasik ini dijangka akan kering. Ada pendapat ia berlaku dalam tempoh 40 tahun akan datang. tapi saya tidak berani mengenengahkan isu ini kerana ia di luar daripada bidang kuasa kita untuk membuat ramalan. Itu semua dengan keizinan Allah SWT.

Dalam masa pencarian maka saya terjumpalah tentang persoalan dan jawapan yang diberikan oleh Dr. Danial dalam bukunya bertajuk "Empayar Minda Islam". Muungkin ada kaitan dengan kisah yang dipaparkan ini.

Persoalan : Apakah kita sedang berada di dalam era Dajjal?
Jawapan: Ada beberapa pertanda yang menunjukkan ke arah itu. Di antaranya ialah Nabi s.a.w telah bersabda berkaitan dengan pengalaman sahabat Tamim Ad-Dari ra yang belayar dengan rakan- rakan beliau dan terbabas di sebuah pulau. Selepas mereka bertemu makhluk hodoh yang memper- kenalkan dirinya sebagai pengintip, mereka telah bertemu dengan makhluk berbadan besar yang memperkenalkan dirinya sebagai Dajal), “.. Dajal berkata: ‘Beritahu aku tentang pohon-pohon tamar di Baisan, adakah ia masih berbuah?’ Kami berkata: ‘Ya’. Berkata Dajal: ‘Tidak lama lagi ia tidak akan berbuah’. Dajal bertanya lagi: ‘Bagaimana dengan Tasik Tiberia, adakah masih dipenuhi air?’ Kami menjawab: ‘Ya, ia masih dipenuhi air’. Dajal berkata: ‘Tidak lama lagi airnya akan kering’..............” (Riwayat Muslim)

Kenyataan yang paling signifikan di dalam hadis ini ialah tentang kekeringan air di Tasik Tiberia. Fenomena ini akan berlaku di era Dajal. Pada hari ini Tasik Tiberia dikenali sebagai Sea of Galilee atau Laut Galilee dan ia terletak di negara Israel. Ia menjadi sumber air bersih yang amat penting bagi negara Israel. Di zaman Dajal air tasik ini akan surut dan fenomena ini sebenarnya sedang menjadi kenyataan pada hari ini. Reuters bertarikh 14 Ogos 2001 memaparkan sebuah artikel yang bertajuk: ‘Kekeringan Air Laut Galilee di Israel Memerlukan Mukjizat Untuk Pulih’. Mengikut artikel ini, air Laut Galilee sedang berada di paras yang terendah di dalam sejarah iaitu di paras 214.04 meter, lebih rendah dari paras bahaya yang ditetapkan. Allahu a'lam.

Sebahagian Gambar Pemandangan Tasik Galilee untuk tatapan pembaca semua:

Nota:
Jika pembaca ada maklumat tambahan, bolehlah berkongsi dengan saya dengan mengemailkan info anda kepada saya di abdullahbinyusoff@gmail.com
Terima Kasih juga diucapkan kepada Sarjan Bidasari yang memberi idea kepada saya untuk menerjah ke tasik ini. Jika beliau ada info berkaitan mari sama-sama kita kongsi.
Terima Kasih Daun Keladi, Sampai jumpa lagi!
Posted by ABDULLAH BIN YUSOFF at 6/09/2010 10:51:00 AM
Assalammualaikum dan salam sejahtera pada semua saudara MUSLIM dan semua pelawat blog ini. Hampir 3 tahun saya tidak sempat mengemaskini blog ni atas sebab yang tidak dapat dielakkan, dan insyaalah lepas ni akan sentiasa dan terus istiqamah dalam blog ni, aminnn.  Untuk perkongsian kali ini ia berkaitan dengan MATA.Siapakah yang memiliki mata yang dicintai oleh Allah SWT? Adakah kita termasuk dalam golongan tersebut? Admin pun tertanya-tanya siapakah gerangannya?
Mata Yang Dicintai Oleh Allah SWT
Berikut merupakan jawapan tersebut :
1. Mata mereka yang sentiasa berusaha ke arah melaksanakan perintah jihad pada jalan Allah SWT.
2. Mata yang berjaga malam di jalan Allah SWT.
3. Mata yang menitis air mata kerana takutkan kebesaran Allah SWT.
4. Mata yang memerhati dan memuji kejadian Allah.
5. Mata yang sentiasa bertahan atau bersabar daripada memandang perkara yang haram.
6. Mata yang memandang dan membaca Al-Quran mengambil pengajaran dan mengamalkan dalam kehidupan.
7. Mata yang memandang mereka yang miskin dengan penuh kerahmatan dan kasih sayang.

Sunday, July 31, 2011



RAMADHAN AL-MUBARAK


Pertama

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan kerana dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);

* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;

* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah saw pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.

Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah saw dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat.


Kedua

Dari Anas bin Malik r.a. dari Nabi SAW, baginda telah bersabda yang bermaksud:

" 1- Barangsiapa mendatangi majlis ilmu di bulan Ramadhan, maka Allah taala mencatat tiap-tiap langkahnya sebagai ibadat satu tahun dan dia akan bersamaKu di bawah panji-panji Arasy,

2- Barangsiapa memelihara solat berjemaah di bulan Ramadhan, maka tiap-tiap rakaatnya akan diganjari satu kota yang penuh dengan nikmat Allah taala,

3- Barangsiapa yang berbuat baik kepada kedua ibubapanya di bulan Ramadhan, maka dia akan memperolehi perhatian Allah taala dengan penuh kasih sayang, sedangkan aku (Rasulullah SAW) menjaminnya di dalam Syurga,

4- Seseorang isteri yang mencari keredhaan suaminya di bulan Ramadhan, maka baginya pahala seperti pahalanya Maryam dan Asiah,

5- Barangsiapa menolong keperluan saudaranya yang muslim di bulan Ramadhan, maka Allah taala akan menolongnya seribu keperluannya di hari Qiamat kelak ".


Ketiga

Puasa akan sempurna dengan menjaga 5 perkara tersebut :

1- Memejamkan mata dari segala sesuatu yang tercela menurut syara'
2- Menjaga mulut dari perkataan atau membicarakan tentang keaiban orang lain
3- Menahan telingan daripada mendengar sesuatu yang dibenci, cth : nyanyian yang melalaikan
4- Menggunakan dan memakan makanan serta minuman yang halal lagi berkat dengan menjauhkan barangan makanan serta minuman yang syubhah, cth : Produk Yahudi dan sekutunya
5- Hendaklah orang yang berpuasa tidak terlalu banyak makan sampai perut penuh saat berbuka walaupun makanan itu halal.
Copyrighted @Abu Mus'ab

Ibadat Puasa Ramadhan - Pengertian, Niat, Syarat-syarat & Kelebihan

Pengertian puasa

Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.

Dalil Wajib puasa

Umat Islam yang mempunyai cukup syarat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan bersandarkan dalil seperti berikut:

Al-Quran:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.

Hadis:

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda; Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allahh, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan adanya dalil daripada Al-Quran dan hadis yang jelas tentang wajibnya puasa, maka orang yang mengingkari kewajipan berpusa adalah dihukum sebagai murtad(keluar daripada Islam)

Lafaz Niat

Lafaz niat puasa bulan Ramadhan:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya (sebulan):
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala.

Doa buka puasa

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت

Maksudnya: Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan

Syarat wajib puasa

Syarat –syarat wajib berpuasa empat perkara iaitu:

1. Islam :
Tidak diwajibkan kepada orang kafir.

2. Baligh:
Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa

3. Berakal : Tidak diwajibkan puasa bagi orang gila.

4. Berkemampuan:
Tidak wajib berpuasa ke atas orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya.

Syarat-syarat sah puasa

Syarat-syarat sah puasa itu enam perkara:

1. Islam:
Orang Islam yang sedang berpuasa kemudian ia murtad walaupun sekejap, maka puasanya batal
2. Berakal: Orang Gila tidak sah puasanya
3. Suci daripada nifas dan haid
4. Masuk waktu puasa
5. Berniat pada setiap malam:
Menurut mazhab Imam Malik-memadai dengan sekali niat sahaja iaitu pada malam pertama bulan Ramadhan.
6. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Rukun Puasa
1. Orang yang berpuasa
2. Niat
3. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Perkara yang membatalkan puasa

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:

1. Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
4. Keluar darah haid atau nifas
5. Gila (hilang akal)
6. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
7. Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
8. Murtad (keluar dari Islam)
9. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).

Mereka yang diizinkan berbuka

Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:

1. Orang yang sakit .
2. Orang yang berkerja buruh.
3. Orang yang dalam musafir (perjalanan).
4. Orang tua yang sudah lemah.
5. Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Hikmah Puasa

Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya:

1. Menandakan kesyukuran kepada Allah
2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah(terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya.
3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain
4. Meningkatkan kesihatan diri.
5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka(hari raya) dan ketika berjumpa dengan tuhannya pada hari kiamat.
6. Menjauhkan dari sifat-sifat Mazmumah(keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.

Kelebihan Ramadhan

Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan antaranya;

1. Bulan diturunkan Al-Quran
Maksudnya: Bulan Ramadhan padanya diturunkan al-Quran yang mempunyai keterangan-keterangan yang nyata sebagai petunjuk kepada manusia

2. Bulan penuh berkat
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut sebagai bulan mulanya rahmat, ditengahnya pengampunanNya dan akhirnya merdeka daripada api neraka.
"Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibukalah pintu-pintu syurga, dihapuslah pintu-pintu neraka dan di ikatlah semua syaitan.

3. Bulan Penghapusan dosa
Maksudnya: Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketelusan ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. .

4. Bulan diturunkan Lailatul Qadar
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran ) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apa dia Lailatul Qadar itu. Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka untuk mengutus segala urusan. Sejahteralah(malam) sehingga terbit fajar.

SUMBER :
- JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN

Sunday, March 27, 2011

ANTARA DUA DARJAT

Merenung Asal Kejadian KITA



"Adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sia-sia dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Al-Mu'minun: 115)

******************************

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah yang hidup di muka bumi ini. Nikmat akal yang dikurniakan Allah merupakan sebesar-besar nikmat yang sekaligus menjadikan manusia lebih baik berbanding makhluk Allah yang lainnya. Merenung kembali kisah yang termaktub dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, bertitik tolak daripada penciptaan manusia, maka tercetuslah persengketaan antara iblis dan Penciptanya.

Apakah keistimewaan manusia sehingga Allah memerintahkan para malaikat dan iblis untuk tunduk sebagai tanda hormat terhadap penciptaan insan pertama iaitu Adam? Apakah tujuannnya disebalik kejadiaan manusia di muka bumi ini? Maha Kuasa Allah yang pastinya tidak menciptakan segala sesuatu dengan sia-sia.

“Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah...”


(Surah Al-Imran : 110)


Apabila kita menghayati dengan mendalam maksud ayat di atas, kita sebenarnya hidup di dunia ini dengan menggalas dua darjat yang berbeza; darjat sebagai hamba dan darjat sebagai khalifah. Menurut bahasa, khalifah bermakna pemimpin atau penguasa manakala hamba pula adalah orang suruhan atau tawanan. Oleh itu, jelas bahawa tugas untuk mengajak ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran adalah peranan sebagai khalifah manakala tugas untuk beriman dan beribadah kepada Allah adalah peranan kita sebagai seorang hamba.


Islam memandang manusia sebagai khalifah sesuai dengan firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.


Melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar, tabligh, saling berpesan-pesan dengan kebenaran, kesabaran dan kasih sayang adalah antara tugas sebagai seorang khalifah Allah. Iman, amal dan ilmu pula adalah bekalnya. Namun ironinya, berapa ramaikah dalam kalangan kita selaku muslim mampu melaksanakan tugas ini? Gejala sosial yang semakin menular di kalangan para remaja muslim masa kini semakin membimbangkan. Apakah peranan kita? Adakah sekadar menggeleng kepala lalu memeluk tubuh tanpa ada usaha hatta secebis pun untuk menyedarkan sahabat-sahabat yang semakin hanyut dengan keseronokan duniawi? Islam sebenarnya telah memberi garis panduan yang lengkap dalam menyampaikan nasihat
.

Pelbagai cara dakwah juga boleh diaplikasi demi kebaikan ummah. Ingatlah, sesungguhnya setiap muslim itu adalah bersaudara. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran. Memang benar, tugas sebagai khalifah Allah bukanlah satu tugas yang mudah, ia menuntut semangat jihad fisabilillah yang tinggi, iman yang kental, ilmu yang mantap serta keazaman yang teguh dalam memburu gelaran syahid. Tetaplah istiqomah, kerana sesungguhnya hakikat jihad itu pahit tetapi destinasi syurgaNya manis.


Setelah kita memahami peranan sebagai khalifah Allah di dunia ini, maka apakah pula peranan kita sebagai hamba Allah? Kita semua sedia maklum, semua yang diciptakan di atas bumi ini adalah hak milik mutlak Allah Azza wa Jalla. Sesuai dengan Asma’ Allah, Al Malik yang bererti Maha Penguasa, maka kita dan seluruh makhluk ciptaanNya ini adalah hamba.Oleh itu, sebagai seorang hamba, maka selayaknya kita tunduk, patuh dan sujud hanya kepada Dia.

Dalam surah Adz-Dzariyyat ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud :

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat hanya kepadaKu.”

Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah yang terbaik. Walaupun Allah telah menjanjikan syurga dan mengurniakan kemuliaan, namun baginda tetap sujud dan memohon ampun kepada Allah. Hadis riwayat Bukhari ada menyatakan, suatu hari Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah;

“Wahai Rasulullah, tuan bersolat begitu lama sekali dan menangis terlalu banyak sedangkan tuan adalah maksum?”. Maka baginda menjawab, “ Adakah tidak patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”.

Betapa hebatnya rasa kehambaan yang ada dalam diri baginda. Persoalannya, bagaimana pula halnya dengan kita? Sejauh manakah rasa kehambaan yang ada dalam diri kita? Kita sebagai umat akhir zaman ini, terlalu ramai yang sombong. Angkuh mendabik dada berjalan dengan megah tanpa pernah sedar segala kurniaan itu adalah milik Allah. Masih tidak mahu sujud dan terus kufur nikmat sedangkan jika Allah mahu, pada bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh diambil semula. Seharusnya, kita mencontohi akhlak dan teladan Rasulullah atau paling tidak para sahabat baginda yang merupakan hamba-hamba Allah yang terbaik.

“(Ingatlah), pada hari (ketika) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya; dan barangsiapa diberikan catatan amalnya di tangan kanannya, mereka akan membaca catatan (dengan baik), dan mereka tidak akan dirugikan sedikit pun".

( Surah Al-Israa’ : 71)


Kesimpulannya, kita harus sentiasa sedar bahawa Allah menciptakan kita bernafas di bumi ini dengan dua peranan yang berbeza. Kita adalah semulia-mulia khalifah dan kita juga adalah serendah-rendah hamba. Lakukan segala sesuatu semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Semoga kita menjadi hamba yang terpilih untuk melangkah masuk dan menghuni syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan selama-lamanya, insyaAllah.

Sunday, March 6, 2011

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri



Oleh : Ustaz Mukhlis

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan:
“kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:
“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:
"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan."
[Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…"
[Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini:
"Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)”
(Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…"
(Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:
"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut."
[Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:
"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan
Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

PEMUDA ISLAM : Ini Amanahmu !

Pemuda : Ini Amanahmu.

1. Dapat diperhatikan secara jelas , bagaimana dunia Islam hari ini sedang dikepong oleh musuh – musuhnya dari segenap arah . Bahkan permusuhan mereka terhadap Islam kian ketara dan mereka seperti tidak sabar lagi mahu melihat Islam ini hancur dan ummahnya musnah .

2. Saya juga mengharapkan agar pemuda – pemuda Islam tidak memandang remeh akan perkara ini jauh sekali memandang sepi ke arahnya tanpa sebarang reaksi , sedang ummah sangat memerlukan sentuhan pemuda Islam bagi menyelamatkan mereka dan generasi yang mendatang.

3. Pemuda mestilah peka dan sensitive malah bersikap responsive terhadap pergerakkan musuh yang mungkin sukar dikesan oleh orang awam justeru mereka sering berselindung disebalik peraturan , undang – undang , Ngo , pergerakan kebajikan , hak asasi , kebebasan media dan seumpamanya .

4. Pemuda jangan lengah untuk bingkas menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan jangan sekali – kali lena di saat musuh bertubi arus mengarahkan serangan pemikiran kepada ummat Islam . Pemuda sewajarnya bersatu dan jangan sekali – kali pecah hati dan retak solidarity dalam mengumpul segala upaya dan kekuatan berhadapan dengan ancaman musuh yang datang dengan perancangan rapi serta sistematik .

ANTARA TAKTIK MUSUH ISLAM

5. Al Marhum Abu A’ala Al Maududi rhm. Pernah menyebut di dalam bukunya yang berjudul Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini , bahawa musuh – musuh Islam begitu licik mengatur strategi untuk melemahkan Islam dan ummatnya . Antara taktik mereka ialah :

PERTAMA :

6. Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan. Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu. Atau mereka akan jadikan orang-orang yang berkelulusan menurut sistem pelajaran kita tidak ubah seperti barang yang tidak berharga dan seperti suatu benda yang hanya layak ditempatkan di dalam tong sampah.

KEDUA :

7. Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan.

8. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini.

KETIGA :

9. Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agong dan tamaddun mereka yang hebat.

10. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikiran nya sehingga caracara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kacamata materialisma barat. Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya.

11. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayaan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

DI ANTARA KEWAJIPAN PEMUDA ISLAM

12. Anda semua mestilah benar-benar menjadi muslim , baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun dari segi fikiran. Juga agar anda benar-benar menjadi muslim dari segi hati dan perasaan, supaya anda mendapat sebesar-besar habuan daripada kemampuan yang cukup lengkap dan berada di dalam kelengkapan yang pasti untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di zaman sekarang yang sesuai dengan perundangan dan ajaran Islam.

13. Anda semua mesti segera memperbetulkan budipekerti yang telah menyeleweng, memperbaiki adat yang telah rosak sehingga anda dapat memperlihatkan perkara secara praktikal bagi Islam seperti mana datuk nenek kita telah memperlihatkannya pada masa lampau.

14. Hendaklah anda semua mengetahui bahawa percanggahan antara perkataan dengan amalan itu akan menumbuhkan bibit-bibit nifaq dalam jiwa. Ia akan menghilangkan kepercayaan.

15. Sesungguhnya kejayaan akan bergantung kepada kejujuran dan niat anda, benar di dalam keazaman dan keselarasan di antara amalan anda dengan perkataan anda. Sesungguhnya seseorang yang berkata apa yang ia tidak lakukan akan mendatangkan kemudaratan besar terhadap dakwahnya.

Firman Allah :

يَاأَيُهَا الَّذِینَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ *

كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. ( Surah Al-Sof : 2-3 )

16. Janganlah anda merasa sayang untuk mencurahkan segala apa yang anda mampu melalui fikiran dan tenaga bekerja yang Allah kurniakan kepada anda untuk berdakwah.

Samada dengan tulisan atau dengan ucapan. Hendaklah anda mengkaji asas-asas tamaddun barat dan mengkritik serta membezakan di antara asas yang silap dengan yang betul. Anda perlu dapat membebaskan fikiran dan jiwa orang Islam dari meniru orang-orang barat.

17. Anda hendaklah mampu menghancurkan berhala-berhala dan teori-teori barat kerana teori ini telah banyak menipu segolongan orang-orang Islam sejak zaman berzaman. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut yang lain pula hendaklah anda bertugas menyusun dan membentangkan undang-undang Islam yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dengan cara-cara yang paling munasabah dan mudah dalam mempraktikan supaya dapat menarik dan meyakinkan generasi baru bahawa undang-undang Islam itu adalah betul dan baik.

18. Anda hendaklah mampu meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengamalkan sistem Islam mereka bukan sahaja akan maju ke depan, malah mereka akan mendahului bangsa lain dalam semua cabang kehidupan.

19. Sesungguhnya makin luas daerah kegiatan kerja anda dan makin betul dengan manhaj Islam maka makin bertambah banyaklah bilangan pendakwah, bilangan pendokongnya dan bilangan orang yang berpengaruh dengannya di dalam tiap perjuangan hidup.

20. Dan tugas anda ini hendaklah diteruskan untuk jangka masa yang panjang hingga tiba suatu hari, di mana akan lahir kumpulan manusia yang ramai, yang beriman dengan tugas dakwah dan bergabung di bawah panji dakwah Islamiyyah.

21. Kumpulan ini sangat kita perlukan untuk mengikat bangunan negara di atas tiang-tiang seri yang berlandaskan Islam. Termasuk di dalam perkara sia-sia sekiranya kita mengira bahawa perubahan Islam secara lengkap dan sempurna boleh wujud dengan tidak didahuluinya oleh persiapan yang cukup. Jika di takdirkan perkara itu berhasil juga dengan tiada persiapan yang cukup lengkap maka perkara itu tidak akan tahan lama dan terasnya tidak akan bertapak kukuh di bumi.

22. Hendaklah anda gabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan anda. Hendaklah anda menyusun orang-orang yang ada di kalangan mereka dalam satu jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah-celah barisan anda.

23. Sesungguhnya semata-mata membentuk jemaah di kalangan manusia yang telah bersetuju dengan dasar tertentu tanpa ada penyusunan yang licin, kukuh dan segala gerak kerjanya di tolak oleh perasaan taat dan patuh, maka itu adalah pekerjaan yang cacat tidak akan membuahkan natijah. Ini telah dibuktikan oleh pengalaman dan pengajaran yang telah lepas. Orang yang berpengalaman sahaja dapat menjelaskan kepada anda.

24. Begitu juga anda mesti bekerja keras menyebar dakwah di kalangan orang orang awam hingga anda boleh menyingkap kabus kejahilan mereka. Anda jadikanlah mereka itu terang benderang mengenai agama mereka, sehingga mereka dapat membezakan di antara yang buruk dari yang baik.

25. Demikian juga anda mesti bekerja keras memperbaiki budi pekerti mereka, meninggikan taraf pemikiran dan fahaman mereka terhadap Islam supaya mereka dapat berdiri tegak dan teguh dalam menghadapi serangan ideologi, seruan kepada maksiat dan kefasikan yang sedang bermaharaja lela di negeri-negari Islam, dengan dibantu dan dokongan dari kerajaan yang telah rosak.

Ini adalah penting kerana :

26. Bumi yang rakyatnya telah mempertuhankan syahwat dan kelazatan hidup tidak boleh menjadi bumi yang baik untuk dibangunkan negara Islam. Bila lahirnya sikap pura-pura dan merebaknya kejahatan yang menyeluruh di kalangan umum manusia, mustahillah untuk dibangunkan dasar dan undang-undang Islam di kalangan para pendusta, pengkhianat dan orangorang fasik. Sejauh mana mereka boleh hidup dengan dasar dan sistem kafir maka sejauh itulah mereka tidak boleh hidup dengan dasar dan sistem Islam.

27. Jangan anda cuba membangun dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang. Anda mesti bersabar dahulu di dalam masalah ini, kerana matlamat yang mahu kita capai itu ialah matlamat yang besar, yang bertujuan membaiki nilai-nilai kemanusiaan, memberikan fahaman kepada manusia dan mengembalikan mereka ke kandang Islam sesudah mereka berada di dalam kemurtadan sejak beberapa lama. Kerja-kerja yang baik seperti ini memerlukan keteguhan dan kesabaran dan pemikiran yang matang.

28. Anda pasti menghayun langkah kedepan dan tiap langkah mesti berwaspada, bijaksana dan berhati-hati. Dan jangan anda terlalu cepat menghayun langkah baru sebelum anda mengulangi hasil langkahan anda dahulu serta menganalisa natijahnya : Adakah langkahan itu berjalan di atas jalan yang telah digariskan, adakah ia memberi natijah yang diharapkan.

29. Antara hakikat yang mesti diterima ialah gopoh gapah itu adalah suatu perkara yang tidak selamat akibatnya. Contohnya

A] kita menyertai di dalam suatu kementerian yang tidak betul dan tidak beriman dengan dengan dasar-dasar kita

B] Harapan kita menyertai di dalam kementerian itu akan memberi suatu langkah yang boleh mendekati kepada tujuan-tujuan kita. Tetapi itu adalah perkara yang salah kerana pengalaman lalu membuktikan bahawa usaha yang seumpama ini tidak akan membuahkan natijah yang baik, kerana orang yang memegang teraju pemerintahan, merekalah yang menetapkan polisi pemerintahan dalam dan luar negerinya dan menyelenggarakan polisi pemerintahan itu berdasarkan kepentingan dan nafsu mereka.

30. Penyertaan kita bersama mereka dengan membawa tujuan yang baik, bersih dan mulia terpaksa berganding bahu dengan mereka dan terpaksa menyesuaikan dengan perjalanan mereka. Ini memberi erti bahawa pada akhirnya kita akan jadi trompet dan alat mainan di tangan mereka, yang boleh mereka lakukan terhadap kita mengikut sesuka hati mereka.


Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan