I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, March 27, 2011

ANTARA DUA DARJAT

Merenung Asal Kejadian KITA



"Adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sia-sia dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Al-Mu'minun: 115)

******************************

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah yang hidup di muka bumi ini. Nikmat akal yang dikurniakan Allah merupakan sebesar-besar nikmat yang sekaligus menjadikan manusia lebih baik berbanding makhluk Allah yang lainnya. Merenung kembali kisah yang termaktub dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, bertitik tolak daripada penciptaan manusia, maka tercetuslah persengketaan antara iblis dan Penciptanya.

Apakah keistimewaan manusia sehingga Allah memerintahkan para malaikat dan iblis untuk tunduk sebagai tanda hormat terhadap penciptaan insan pertama iaitu Adam? Apakah tujuannnya disebalik kejadiaan manusia di muka bumi ini? Maha Kuasa Allah yang pastinya tidak menciptakan segala sesuatu dengan sia-sia.

“Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah...”


(Surah Al-Imran : 110)


Apabila kita menghayati dengan mendalam maksud ayat di atas, kita sebenarnya hidup di dunia ini dengan menggalas dua darjat yang berbeza; darjat sebagai hamba dan darjat sebagai khalifah. Menurut bahasa, khalifah bermakna pemimpin atau penguasa manakala hamba pula adalah orang suruhan atau tawanan. Oleh itu, jelas bahawa tugas untuk mengajak ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran adalah peranan sebagai khalifah manakala tugas untuk beriman dan beribadah kepada Allah adalah peranan kita sebagai seorang hamba.


Islam memandang manusia sebagai khalifah sesuai dengan firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.


Melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar, tabligh, saling berpesan-pesan dengan kebenaran, kesabaran dan kasih sayang adalah antara tugas sebagai seorang khalifah Allah. Iman, amal dan ilmu pula adalah bekalnya. Namun ironinya, berapa ramaikah dalam kalangan kita selaku muslim mampu melaksanakan tugas ini? Gejala sosial yang semakin menular di kalangan para remaja muslim masa kini semakin membimbangkan. Apakah peranan kita? Adakah sekadar menggeleng kepala lalu memeluk tubuh tanpa ada usaha hatta secebis pun untuk menyedarkan sahabat-sahabat yang semakin hanyut dengan keseronokan duniawi? Islam sebenarnya telah memberi garis panduan yang lengkap dalam menyampaikan nasihat
.

Pelbagai cara dakwah juga boleh diaplikasi demi kebaikan ummah. Ingatlah, sesungguhnya setiap muslim itu adalah bersaudara. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran. Memang benar, tugas sebagai khalifah Allah bukanlah satu tugas yang mudah, ia menuntut semangat jihad fisabilillah yang tinggi, iman yang kental, ilmu yang mantap serta keazaman yang teguh dalam memburu gelaran syahid. Tetaplah istiqomah, kerana sesungguhnya hakikat jihad itu pahit tetapi destinasi syurgaNya manis.


Setelah kita memahami peranan sebagai khalifah Allah di dunia ini, maka apakah pula peranan kita sebagai hamba Allah? Kita semua sedia maklum, semua yang diciptakan di atas bumi ini adalah hak milik mutlak Allah Azza wa Jalla. Sesuai dengan Asma’ Allah, Al Malik yang bererti Maha Penguasa, maka kita dan seluruh makhluk ciptaanNya ini adalah hamba.Oleh itu, sebagai seorang hamba, maka selayaknya kita tunduk, patuh dan sujud hanya kepada Dia.

Dalam surah Adz-Dzariyyat ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud :

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat hanya kepadaKu.”

Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah yang terbaik. Walaupun Allah telah menjanjikan syurga dan mengurniakan kemuliaan, namun baginda tetap sujud dan memohon ampun kepada Allah. Hadis riwayat Bukhari ada menyatakan, suatu hari Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah;

“Wahai Rasulullah, tuan bersolat begitu lama sekali dan menangis terlalu banyak sedangkan tuan adalah maksum?”. Maka baginda menjawab, “ Adakah tidak patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”.

Betapa hebatnya rasa kehambaan yang ada dalam diri baginda. Persoalannya, bagaimana pula halnya dengan kita? Sejauh manakah rasa kehambaan yang ada dalam diri kita? Kita sebagai umat akhir zaman ini, terlalu ramai yang sombong. Angkuh mendabik dada berjalan dengan megah tanpa pernah sedar segala kurniaan itu adalah milik Allah. Masih tidak mahu sujud dan terus kufur nikmat sedangkan jika Allah mahu, pada bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh diambil semula. Seharusnya, kita mencontohi akhlak dan teladan Rasulullah atau paling tidak para sahabat baginda yang merupakan hamba-hamba Allah yang terbaik.

“(Ingatlah), pada hari (ketika) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya; dan barangsiapa diberikan catatan amalnya di tangan kanannya, mereka akan membaca catatan (dengan baik), dan mereka tidak akan dirugikan sedikit pun".

( Surah Al-Israa’ : 71)


Kesimpulannya, kita harus sentiasa sedar bahawa Allah menciptakan kita bernafas di bumi ini dengan dua peranan yang berbeza. Kita adalah semulia-mulia khalifah dan kita juga adalah serendah-rendah hamba. Lakukan segala sesuatu semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Semoga kita menjadi hamba yang terpilih untuk melangkah masuk dan menghuni syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan selama-lamanya, insyaAllah.

Sunday, March 6, 2011

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri



Oleh : Ustaz Mukhlis

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan:
“kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:
“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:
"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan."
[Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…"
[Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini:
"Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)”
(Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…"
(Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:
"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut."
[Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:
"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan
Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

PEMUDA ISLAM : Ini Amanahmu !

Pemuda : Ini Amanahmu.

1. Dapat diperhatikan secara jelas , bagaimana dunia Islam hari ini sedang dikepong oleh musuh – musuhnya dari segenap arah . Bahkan permusuhan mereka terhadap Islam kian ketara dan mereka seperti tidak sabar lagi mahu melihat Islam ini hancur dan ummahnya musnah .

2. Saya juga mengharapkan agar pemuda – pemuda Islam tidak memandang remeh akan perkara ini jauh sekali memandang sepi ke arahnya tanpa sebarang reaksi , sedang ummah sangat memerlukan sentuhan pemuda Islam bagi menyelamatkan mereka dan generasi yang mendatang.

3. Pemuda mestilah peka dan sensitive malah bersikap responsive terhadap pergerakkan musuh yang mungkin sukar dikesan oleh orang awam justeru mereka sering berselindung disebalik peraturan , undang – undang , Ngo , pergerakan kebajikan , hak asasi , kebebasan media dan seumpamanya .

4. Pemuda jangan lengah untuk bingkas menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan jangan sekali – kali lena di saat musuh bertubi arus mengarahkan serangan pemikiran kepada ummat Islam . Pemuda sewajarnya bersatu dan jangan sekali – kali pecah hati dan retak solidarity dalam mengumpul segala upaya dan kekuatan berhadapan dengan ancaman musuh yang datang dengan perancangan rapi serta sistematik .

ANTARA TAKTIK MUSUH ISLAM

5. Al Marhum Abu A’ala Al Maududi rhm. Pernah menyebut di dalam bukunya yang berjudul Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini , bahawa musuh – musuh Islam begitu licik mengatur strategi untuk melemahkan Islam dan ummatnya . Antara taktik mereka ialah :

PERTAMA :

6. Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan. Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu. Atau mereka akan jadikan orang-orang yang berkelulusan menurut sistem pelajaran kita tidak ubah seperti barang yang tidak berharga dan seperti suatu benda yang hanya layak ditempatkan di dalam tong sampah.

KEDUA :

7. Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan.

8. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini.

KETIGA :

9. Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agong dan tamaddun mereka yang hebat.

10. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikiran nya sehingga caracara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kacamata materialisma barat. Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya.

11. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayaan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

DI ANTARA KEWAJIPAN PEMUDA ISLAM

12. Anda semua mestilah benar-benar menjadi muslim , baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun dari segi fikiran. Juga agar anda benar-benar menjadi muslim dari segi hati dan perasaan, supaya anda mendapat sebesar-besar habuan daripada kemampuan yang cukup lengkap dan berada di dalam kelengkapan yang pasti untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di zaman sekarang yang sesuai dengan perundangan dan ajaran Islam.

13. Anda semua mesti segera memperbetulkan budipekerti yang telah menyeleweng, memperbaiki adat yang telah rosak sehingga anda dapat memperlihatkan perkara secara praktikal bagi Islam seperti mana datuk nenek kita telah memperlihatkannya pada masa lampau.

14. Hendaklah anda semua mengetahui bahawa percanggahan antara perkataan dengan amalan itu akan menumbuhkan bibit-bibit nifaq dalam jiwa. Ia akan menghilangkan kepercayaan.

15. Sesungguhnya kejayaan akan bergantung kepada kejujuran dan niat anda, benar di dalam keazaman dan keselarasan di antara amalan anda dengan perkataan anda. Sesungguhnya seseorang yang berkata apa yang ia tidak lakukan akan mendatangkan kemudaratan besar terhadap dakwahnya.

Firman Allah :

يَاأَيُهَا الَّذِینَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ *

كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. ( Surah Al-Sof : 2-3 )

16. Janganlah anda merasa sayang untuk mencurahkan segala apa yang anda mampu melalui fikiran dan tenaga bekerja yang Allah kurniakan kepada anda untuk berdakwah.

Samada dengan tulisan atau dengan ucapan. Hendaklah anda mengkaji asas-asas tamaddun barat dan mengkritik serta membezakan di antara asas yang silap dengan yang betul. Anda perlu dapat membebaskan fikiran dan jiwa orang Islam dari meniru orang-orang barat.

17. Anda hendaklah mampu menghancurkan berhala-berhala dan teori-teori barat kerana teori ini telah banyak menipu segolongan orang-orang Islam sejak zaman berzaman. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut yang lain pula hendaklah anda bertugas menyusun dan membentangkan undang-undang Islam yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dengan cara-cara yang paling munasabah dan mudah dalam mempraktikan supaya dapat menarik dan meyakinkan generasi baru bahawa undang-undang Islam itu adalah betul dan baik.

18. Anda hendaklah mampu meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengamalkan sistem Islam mereka bukan sahaja akan maju ke depan, malah mereka akan mendahului bangsa lain dalam semua cabang kehidupan.

19. Sesungguhnya makin luas daerah kegiatan kerja anda dan makin betul dengan manhaj Islam maka makin bertambah banyaklah bilangan pendakwah, bilangan pendokongnya dan bilangan orang yang berpengaruh dengannya di dalam tiap perjuangan hidup.

20. Dan tugas anda ini hendaklah diteruskan untuk jangka masa yang panjang hingga tiba suatu hari, di mana akan lahir kumpulan manusia yang ramai, yang beriman dengan tugas dakwah dan bergabung di bawah panji dakwah Islamiyyah.

21. Kumpulan ini sangat kita perlukan untuk mengikat bangunan negara di atas tiang-tiang seri yang berlandaskan Islam. Termasuk di dalam perkara sia-sia sekiranya kita mengira bahawa perubahan Islam secara lengkap dan sempurna boleh wujud dengan tidak didahuluinya oleh persiapan yang cukup. Jika di takdirkan perkara itu berhasil juga dengan tiada persiapan yang cukup lengkap maka perkara itu tidak akan tahan lama dan terasnya tidak akan bertapak kukuh di bumi.

22. Hendaklah anda gabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan anda. Hendaklah anda menyusun orang-orang yang ada di kalangan mereka dalam satu jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah-celah barisan anda.

23. Sesungguhnya semata-mata membentuk jemaah di kalangan manusia yang telah bersetuju dengan dasar tertentu tanpa ada penyusunan yang licin, kukuh dan segala gerak kerjanya di tolak oleh perasaan taat dan patuh, maka itu adalah pekerjaan yang cacat tidak akan membuahkan natijah. Ini telah dibuktikan oleh pengalaman dan pengajaran yang telah lepas. Orang yang berpengalaman sahaja dapat menjelaskan kepada anda.

24. Begitu juga anda mesti bekerja keras menyebar dakwah di kalangan orang orang awam hingga anda boleh menyingkap kabus kejahilan mereka. Anda jadikanlah mereka itu terang benderang mengenai agama mereka, sehingga mereka dapat membezakan di antara yang buruk dari yang baik.

25. Demikian juga anda mesti bekerja keras memperbaiki budi pekerti mereka, meninggikan taraf pemikiran dan fahaman mereka terhadap Islam supaya mereka dapat berdiri tegak dan teguh dalam menghadapi serangan ideologi, seruan kepada maksiat dan kefasikan yang sedang bermaharaja lela di negeri-negari Islam, dengan dibantu dan dokongan dari kerajaan yang telah rosak.

Ini adalah penting kerana :

26. Bumi yang rakyatnya telah mempertuhankan syahwat dan kelazatan hidup tidak boleh menjadi bumi yang baik untuk dibangunkan negara Islam. Bila lahirnya sikap pura-pura dan merebaknya kejahatan yang menyeluruh di kalangan umum manusia, mustahillah untuk dibangunkan dasar dan undang-undang Islam di kalangan para pendusta, pengkhianat dan orangorang fasik. Sejauh mana mereka boleh hidup dengan dasar dan sistem kafir maka sejauh itulah mereka tidak boleh hidup dengan dasar dan sistem Islam.

27. Jangan anda cuba membangun dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang. Anda mesti bersabar dahulu di dalam masalah ini, kerana matlamat yang mahu kita capai itu ialah matlamat yang besar, yang bertujuan membaiki nilai-nilai kemanusiaan, memberikan fahaman kepada manusia dan mengembalikan mereka ke kandang Islam sesudah mereka berada di dalam kemurtadan sejak beberapa lama. Kerja-kerja yang baik seperti ini memerlukan keteguhan dan kesabaran dan pemikiran yang matang.

28. Anda pasti menghayun langkah kedepan dan tiap langkah mesti berwaspada, bijaksana dan berhati-hati. Dan jangan anda terlalu cepat menghayun langkah baru sebelum anda mengulangi hasil langkahan anda dahulu serta menganalisa natijahnya : Adakah langkahan itu berjalan di atas jalan yang telah digariskan, adakah ia memberi natijah yang diharapkan.

29. Antara hakikat yang mesti diterima ialah gopoh gapah itu adalah suatu perkara yang tidak selamat akibatnya. Contohnya

A] kita menyertai di dalam suatu kementerian yang tidak betul dan tidak beriman dengan dengan dasar-dasar kita

B] Harapan kita menyertai di dalam kementerian itu akan memberi suatu langkah yang boleh mendekati kepada tujuan-tujuan kita. Tetapi itu adalah perkara yang salah kerana pengalaman lalu membuktikan bahawa usaha yang seumpama ini tidak akan membuahkan natijah yang baik, kerana orang yang memegang teraju pemerintahan, merekalah yang menetapkan polisi pemerintahan dalam dan luar negerinya dan menyelenggarakan polisi pemerintahan itu berdasarkan kepentingan dan nafsu mereka.

30. Penyertaan kita bersama mereka dengan membawa tujuan yang baik, bersih dan mulia terpaksa berganding bahu dengan mereka dan terpaksa menyesuaikan dengan perjalanan mereka. Ini memberi erti bahawa pada akhirnya kita akan jadi trompet dan alat mainan di tangan mereka, yang boleh mereka lakukan terhadap kita mengikut sesuka hati mereka.


Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan