I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, July 21, 2010

Kisahku Bersama 4 ISTERI......

Salam semua..

Hari nie saya nak berkongsi dengan anda semua kisah teladan iaitu Kisahku Bersama 4 Isteri. Sangat menarik dan menyentuh perasaan bagi sesiapa yang membacanya. Jom kita teruskan membaca yer..

“Aku seorang ahli perniagaan yang punya empat isteri. Pada kesempatan ini aku ingin bercerita tentang isteri-isteriku. Berminat? Ayuh, mari ikuti kisahku. Kumulakan dengan isteri yang paling kusayang. Siapa lagi, kalau bukan isteri yang keempat. Dia paling muda, paling bertenaga. Dialah isteri yang paling kucintai. Justeru dia sangat banyak membantuku. Kalau aku keletihan, dialah yang meyelesaikan segala kerja yang melibatkan tenaga. Dia macam tidak pernah keletihan. Oh, bertuah sungguh punya isetri muda yang kuat dan bertenaga. Dia adalah pujaanku yang sentiasa kujaga dan kudambakan kasihnya.

Isteriku yang ketiga tak kurang hebatnya. Dia antara keempat-empat isteriku, dialah yang paling cantik. Wajahnya sangat memikat siapa sahaja yang melihat. Pandai berhias dan bergaul dalam majlis. Dialah yang selalu menemaniku ke majlis-majlis penting. Oh, bangga dalam hati…apabila memperkenalkannya kepada teman-teman. Muka dan tuturnya sangat manis kelihatan.

Isteriku yang kedua apa kurangnya. Walaupun tidak secantik dan bertenaga seperti ketiga dan keempat, dia punya akal yang cerdas. Sangat pandai dan pintar dalam menyelesaikan masalah. Oh, sungguh bertuah…jika aku buntu, dialah yang menjadi tempat rujukku. Ada sahaja buah fikiran dan jalan penyelesaian yang dia ketengahkan.

Aduh, inilah isteri pertama. Rupa tidak ada. Fikiran di tahap biasa-biasa sahaja. Tenaganya pula sudah semakin diragut usia. Kehadirannya semacam tiada. Pergi tidak mengurang, datang tidak menambah. Hendak kucerai tidak sampai hati. Mujur, dia tidak kisah walaupun aku jarang-jarang datang menemuinya. Bukan tidak kasihan, tetapi apa boleh buat, hatiku tidak ada lagi padanya. Isteri tua….

Hidupku riang dan ceria sehingga satu hari, tiba-tiba kurasa badanku lemah. Pandanganku berpinar-pinar. Dan akhirnya aku jatuh terjelepuk sewaktu melangkah keluar daripada satu mesyuarat di pejabatku. Dengan segera aku dihantar ke hospital. Kaki tangan dan badanku tidak dapat bergerak-gerak lagi. Ya Allah…apa sakitku?

Doctor datang dan berkata perlahan, “Maaf tuan, saya terpaksa berterus-terang.” Aku mendengarnya dengan gentar. “Tuan diserang barah di tahap terakhir. Mengikut pemeriksaan dan penyelidikan kami, umur tuan tidak panjang. Paling lama dua bulan. Tetapi ajal maut di tangan Allah. Banyakkanlah berdoa. Di sudut perubatan, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat kecuali mengambil uabt penahan sakit!”

Aduh! Bagai disambar halilintar. Aku akan pergi buat selamanya. Mujur, mulut masih boleh berkata-kata. Lalu kupanggil keempat-empat isteriku. Ingin kutemui mereka seorang demi seorang. Merekalah tempat aku meluahkan resah dan takut di dada ini. Pertama kutemui tentulah isteriku yang tersayang – isteri keempat.

“Yang, kau tahu abang akan pergi tidak lama lagi. Jika ditakdirkan, sudikah kalau kau mati bersamaku? Untuk menemaniku di alam barzakh sana?” tanyaku perlahan sambil meramas-ramas tangannya penuh kasih sayang dan harapan.

“Bang, soal mati jangan buat bergurau. Abang pun tahu saya muda lagi…Abang mahu saya mati sama? Oh, tidak. Abang perlu faham situasi saya. Jika abang mati, relakanlah saya meneruskan kehidupan dengan lelaki lain. Takkah abang tega membiarkan saya yang masih muda ini hidup menjanda.”

Terlepas tangannya yang kupegang. Aku renung matanya untuk mendapat kepastian. Ya, dia pasti. Tidak ada ragu yang dapat “kubaca” daripada sinar matanya. Jika aku mati nanti, dialah isteri yang paling awal tidak bergelar janda. Janda muda, siapa yang tidak teringin!

Apabila isteri ketiga memasuki ruang kamar. Aku masih mampu melontar sisa-sisa senyuman yang masih tinggal. Wajahnya cantik, molek dan rupawan seprti biasa. Oh, alangkah sukar untuk berpisah dengannya nanti.
“Darling, abang akan pergi selamanya…”
“Ya bang, saya sangat sedih membayangkan hidup tanpa abang disisi,” balasnya bersama tangisan.
Ah, ada harapan, bisikku dalam hati.
“Darling, sudikah kalau kau menemani abang di Barzakh nanti, sebagai bukti cinta kita?” kataku menduga cintanya.

Dia tersentak. Matanya yang bak bintang timur seakan terbeliak. Dan lehernya yang jinjang menggeleng-geleng perlahan.
“Bang, kita perlu rasional. Kecantikan saya memang untuk abang, tetapi semasa abang hidup sahaja. Apabila abang mati, say aperlu teruskan kehidupan. Selain daripada harta yang abang wariskan, kecantikan inilah asset saya untuk meneruskan kehidupan.”

Oh, kau juga serupa. Alangkah seksanya apabila memikirkan kecantikanmu akan dinikmati oleh lelaki lain. Harapanku hancur.
Ya, isteri yang kedua adalah harapan terakhirku. Dialah yang sering menyelesaikan sebarang masalah. Tentu “masalah” ini juga mampu diselesaikannya.

“Abang perlu pandangan saya untuk menyelesaikan masalah abang?” Tanya isteri ketiga sebaik bertentang mata.
“Ya, ya…kaulah satu-satunya harapan abang yang masih tinggal.”
“Saya akan membantu sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah abang dengan lancar…”
“Dengan lancar?”
“Ya, soal pembahagian harta pusaka akan saya uruskan dengan baik. Perniagaan abang pun telah saya semak semua hutang piutangnya. Insya-Allah, perniagaan dapat diteruskan. Abang usah risau. Batu nisan yang mahal tealah saya tempah. Begitu juga dengan tanah perkuburan. Imam, jemaah dan masjid untuk solat jenazah sudah pun saya tentukan. Abang jangan takut, semuanya sudah selesai saya uruskan.”

“Bukan itu masalah abang. Itu bukan masalahnya. Tapi masalah abang ialah abang takut hidup bersendirian dalam kubur. Sekian lama kau dapat menyelesaikan semua masalah abang…kini bantulah abang seperti biasa.”
“Apa masalahnya, bang?”
“Sudikah kau menemani abang di alam kubur?”

Isteri keduaku terkejut. Dia menutup muka dan berlalu segera sambil menangis. Harapanku hancur. Semua yang tersayang sudah tidak sudi lagi. Aku terkapa-kapa sendiri untuk menghadapi hidup selepas mati. Alangkah sepinya hati dan ngerinya nanti. Tiba-tiba….”Assalamualaiku, bang.”

Ah, terlupa…aku masih lagi punya satu isteri lagi – isteri pertama.
“Waalaikum salam,” jawabku hambar. Aku tidak mengharap apa-apa daripadanya. Aku tidak akan mengemukakan apa-apa permintaan, justeru aku dapat meneka apakah jawapannya nanti. Mustahil dia yang sering aku tinggalkan sudi menemaniku.
“Terima kasih kerana abang masih sudi menemui saya,” katanya sebaik bersalaman.

Isteri pertamaku merenung mataku. Matanya bersinar jernih dan ketenangan tidak tercabut daripada cahaya pandangannya walaupun usianya sudah lanjut.
“Abang, saya sanggup menemani abang. Ke mana sahaja. Di mana jua. Saya sanggup menemani abang sekalipun terpaksa mati bersama. Jika ditakdirkan, saya sanggup menemani abnag di alam kubur!”

Ah, alangkah gembiranya hatiku. Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan itulah yang paling setia dan berguna. Aku terharu dengan keikhlasannya. Dialah hakikatnya isteri sejati dan hakiki walaupun tidak ada tenaga, rupa dan idea.

Saudara-saudari, siapa ‘aku’ dalam cerita di atas? Siapa lagi kalau bukan diri kita. Kitalah yang punya empat ‘isteri’. Isteri keempat ialah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita mendapat kekuatan dan tenaga. Justeru, “dia” kita jaga sepenuhnya. Diberi makan dan minum dan dilindungi daripada penyakit. Kita sangat sayang kepadanya. Masa, harta dan perhatian kita kekadang dihabiskan sepenuhnya dan seluruhnya untuk membelai anggota badan kita. Jangan sakit, cacat dan lemah. Pelbagai makanan tambahan, ubat-ubatan serta rawatan kita usahakan untuk mendapat tenaga daripada tubuh badan.

Isteri ketiga kita ialah harta. Siang malam kita memikirkan bagaimana menambahnya. Bagaimana meningkatkan kewangan keluarga. Tidak cukup dengan kerja yang ada, kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang bertambah, simpanan meningkat, kita belikan asset. Kita bangga “memperagakan” rumah, kereta dan segala asset pencarian kita. Ironis sekali, seolah-olah “nilai” kita terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki itu.

Isteri kedua kita ialah anak, isteri, sanak saudara dan sahabat-sahabat kita. Pada merekalah kita meluahkan masalah. Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian. Merekalah yang selalu kita temui, jemput dan raikan dalam hidup. Hidup akan sepi tanpa mereka di sisi.

Isteri pertama kita ialah amal ibadah kita kepada Allah. Itulah yang sering kita lupakan. Kita pinggirkan. Bila hendak menambah amal? Nanti, esok masih ada. Bila hendak taubat? Tunggu, usia masih muda. Segala kebaikan sama ada yang berbentuk hablumminannas (hubungan sesama manusia) sering tidak mendaoat keutamaan. Segala-galanya hanya seperti “isteri tua” yang tidak mengghairahkan dan menggiurkan lagi.

Namun, akan tiba masanya nanti (dan itu pasti), akan terserlah jua mana “isteri” yang benar-benar jujur dan setia. Ketika saat berangkat yang didahului oleh sakarat itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukar menjadi permata? Aduh, alangkah sepi dan malangnya kita pada malam pertama di alam kubur sana…tanpa “isteri” yang sudi mendakap kita?

Pernah Dengar Batu Terapung Dalam Peristiwa Isra’ dan Mikraj?

Salam semua..

Inilah pertama kali saya mendengar tentang Batu Terapung semasa peritiwa Isra’ dan Mikraj. Biasanya peristiwa Isra’ dan Mikraj kita akan dengar berkaitan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa kan? Tapi kali ini cerita lain yang saya ingin bawakan kepada anda. Ianya berkaitan dengan Batu Terapung di “Qubbatul Sakhrah”

Setiap kali menjelang kalendar Rejab sempena kedatangan tarikh peristiwa Isra’ Mikraj, pasti gambar-gambar ini disebarkan ke serata dunia maya dan hasilnya, ramailah yang mempercayainya..

Berikut adalah gambar-gambar palsu yang kononnya ia adalah Batu Terapung atau Batu Tergantung seperti yang tercatat dalam peristiwa Israk Mikraj, tersebar meluas di dalam internet. Dan juga.. Ia diguna pakai dalam khutbah multimedia di masjid-masjid di KL..!

Gambar PALSU 1

Batu Terapung PALSU 1

Gambar PALSU kononnya Batu Terapung / Tergantung di Palestine ini terus disebarkan dan amat kurang bagi mereka yang bertanya akan kesahihannya. (He-eh..? Kan terapung tu ustaz..? )


Gambar PALSU 2

Batu Terapung PALSU 2

Gambar batu yang serupa dari sudut yang lain. Dah Nampak..?


Gambar PALSU 3

Batu Terapung PALSU 3

Juga satu lagi sudut gambar palsu ini. Dah jelas..? Belum..?


Gambar PALSU 4

Batu Terapung PALSU 4

Sekali lagi sudut yang lain gambar palsu ini. Haa.. Jelas..?


Gambar PALSU 5

Batu Terapung PALSU 5

Tadaa.. ‘Breaking The Magician Code: The Magic Secret Reavealed’. Teknik murahan rupanya.. Guna Photoshop..

Jadi.. Mana yang ASLInya..?

Berikut yang penulis sertakan adalah gambar ASLI dan SAHIH Batu Terapung yang disebut dalam peristiwa Isra’ Mikraj..

Batu Terapung Dalam Peristiwa Isra' Mikraj

Batu Terapung Dalam Peristiwa Isra’ Mikraj

Berikut adalah soal-jawab dari seorang hamba Allah dengan Dato’ Dr. Haron Din mengenai Batu Terapung / Tergantung seperti yang dinyatakan dalam sejarah Isra’ Mikraj baru-baru ini.

SOALAN:

Dato’, saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato’ perjelaskan apakah yang sebenarnya. – ZAINAL AHMAD

JAWAPAN Dato’ Dr Haron Din:

Tempat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Dimikrajkan

Ulama umumnya berpendapat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermikraj dari satu tempat di Baitulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis.

Pengalaman Al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi

Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud ‘Tempat Nabi bermikraj’, disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): “Berkatalah al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT.

“Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.”

“Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.”

“Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain.”

Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul ‘Arabi. Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tergantung-gantung. Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi.


Batu Terapung Pada Hari Ini Dari Pengalaman Dato’ Dr Haron Din

Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.

Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.

Satu lagi gambar asli dan sahih Batu Terapung. Para Jemaah Mengambil Kesempatan Solat Di Bawah Batu Terapung

Para Jemaah Mengambil Kesempatan Solat Di Bawah Batu Terapung

Meneliti Batu Terapung

Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan. Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya. Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.

Keadaan Berubah

Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang dijelaskan di atas. Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.

Kegerunan Hati Manusia

Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap. Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi.

Batu Terapung Isra' Mikraj -Dari Atas-

Gambar simpanan lama Batu Terapung dari sudut atas.


Mengapa Berubah..?

Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar Ibnul ‘Arabi seperti dalam bukunya.

Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat. Wallahua’lam.

INFO TAMBAHAN :

Ustaz Zamri berkata,

“Ada 2 bangunan masjid di kawasan tersebut. Bangunan yang berkubah emas adalah bangunan yang terdapat Batu Terapung di bawahnya manakala Masjid Al Aqsa adalah berkubah biru tua..

Di sebabkan ia terletak dalam kawasan yang berhampiran, maka ramai yang menganggap bahawa kubah emas adalah Masjid Al Aqsa.

Kubah emas inilah mendapat gelaran ‘Qubbatul Sakhrah’ kerana di bawahnya terdapat Batu Terapung tersebut..

Manakala Masjid Al Aqsa adalah masjid yang berhampiran dengan Qubbatul Sakhrah..

Ada pandangan yang mengatakan tidak salah juga digelar Masjid Al Aqsa kerana ia berada dalam kawasan yang berhampiran..

Dan dari pandangan Al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi seperti yang dijelaskan; ia asalnya berada ditengah-tengah Masjid Al Aqsa. bermaksud asal kawasan liputan Masjid Al Aqsa adalah luas dan pada awalnya Batu Terapung tersebut di tanah lapang dalam lingkungan kawasan Masjid Al Aqsa.”

Wednesday, July 14, 2010

Jom kita mula Puasa Ramadhan- Warming Up

ssalamu'alaikum warahmatuLlah.

Cepatnya masa berlalu, pejam celik pejam celik kita dah berada di bulan Sya'ban. Lepas Sya'ban Ramadhan. Tak payah cakap semua orang tahu.....bulan Ramadhan kita wajib berpuasa.

Bulan puasa adalah bulan yang sangat istimewa, cuba baca apa yang dipesankan oleh Nabi Muhammad saw dalam khutbahNya pada akhir bulan Sya'ban;,

Dari Salman Al-Farisi ra. berkata: “Rasulullah saw berkhutbah pada hari terakhir bulan Sya’ban: Wahai manusia telah datang kepada kalian bulan yang agung, bulan penuh berkah, di dalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasanya wajib, dan qiyamul lailnya sunnah. Siapa yang mendekatkan diri dengan kebaikan, maka seperti mendekatkan diri dengan kefarduan di bulan yang lain. Siapa yang melaksanakan kefarduan, maka seperti melaksanakan 70 kefarduan di bulan lain. Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan kesabaran balasannya adalah syurga. Bulan solidariti, dan bulan ditambahkan rezeki orang beriman. seperti orang orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun ». kami berkata : »Wahai Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam Tidak semua kita dapat memberi makan orang yang berpuasa ? ». Rasul shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:” Allah memberi pahala kepada orang yang memberi buka puasa walaupun dengan satu biji kurma atau seteguk air atau susu. Ramadhan adalah bulan di mana awalnya rahmat, tengahnya maghfirah dan akhirnya pembebasan dari api neraka. Siapa yang meringankan orang yang dimilikinya, maka Allah mengampuninya dan dibebaskan dari api neraka. Perbanyakkanlah melakukan empat perkara; dua perkara membolehkan dapat redha ALlah dan dua perkara Allah tidak berhajat dengannya. Dua hal itu adalah; Syahadat Laa ilaha illallah dan beristighfar kepada-Nya. Adapun dua perkara yang Allah tidak berhajat adalah engkau meminta syurga dan berlindung dari api neraka. Siapa yang membuat kenyang orang berpuasa, Allah akan memberikan minum dari telagaku (Rasul saw) satu kali minum yang tidak akan dahaga hingga dia masuk syurga” (HR al-‘Uqaili, Ibnu Huzaimah, al-Baihaqi, al-Khatib dan al-Asbahani).


Bagaimana kita nak mendapatkan semuanya kalau puasa Ramadhan kita tidak sempurna. Oleh itu kita hendaklah mula berlatih atau warming up dalam bulan Sya'ban terlebih dahulu dengan puasa sunat, baca al-Quran, qiamullail dan sedekah.


Orang – orang yang soleh biasa melakukan persiapan ini seawal mungkin sebelum datang Ramadhan. Bahkan mereka sudah merindukan kedatangannya sejak bulan Rejab dan Sya'ban. Ini dapat dilihat dari doa mereka, "Ya Allah berikanlah kepada kami keberkatan pada bulan Rajab dan Sya'ban, serta sampaikanlah kami kepada Ramadhan.“

Sejak bulan Rejab iman kita sudah meningkat. Boleh dikiaskan, bulan Rejab dan Sya'ban adalah masa pemanasan (warming up) sehingga ketika mula start memasuki Ramadhan kita sudah boleh meluncur seperti biasa.


Jom kita pakat mula dalam bulan sya'ban ini walaupun Rajab telah meninggalkan kita.


From Us Yusof Embong (UYE)

Tuesday, July 13, 2010

Haramkah atau perbetulkan ESQ?


"Persoalan haramkah atau perlukah diperbetulkan ESQ berbangkit setelah pihak Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh mewartakan hujahnya dalam bentuk fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bahawa kursus ESQ befcanggah dengan ajaran Islam.

Menurut fatwa tersebut, kursus ESQ yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam. Fatwa tersebut telah menguraikannya kepada 10 ajaran yang difatwakan menyeleweng, antaranya adalah mendukung fahaman Islam liberal dan plural agama, mendakwa para Nabi mencapai kebenaran melalui pencarian bukan pilihan Allah, mencampur aduk ajaran Islam dengan Kristian, Yahudi dan amalan kerohanian Hindu, menekankan suara hati sama dengan Hindu, mengutamakan logik, mengengkari mukjizat, menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran, menyamakan bacaan 17 kali surah al-Fatihah dengan amalan Bushido menurut agama Buddha, mengiaskan mukjizat Nabi Musa dengan apa yang berlaku kepada seorang juruterbang, dan mentafsirkan kalimah syahadah sebagai “triple one” sama dengan konsep trinity dalam ajaran Kristian.

Kepada umat Islam seluruhnya, hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu sudah mejnadi satu fatwa bila ia diwartakan pada 17 Jun 2010. Meskipun pihak Menteri diJabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sudah menghadkan pemakaian fatwa itu untuk Wilayah Persekutuan sahaja (Utusan Malaysia, 9 Julai 2010), namun ia dilihat sebagai kenyataan yang terkeluar daripada konteks amalan keIslaman. Penting dilihat ialah pihak mufti sudah memfatwakan dengan mengemukakan hujah lalu menghukum ESQ haram kerana ada beberapa perkara amalan di dalam ESQ bercanggah dengan Islam.

Sementara itu ada pihak lain yang belum boleh menerima fatwa tersebut, malah terus menghalalkan ESQ itu dengan pelbagai alasan yang bukan hujah memfatwa. Termasuklah menyandarkan hasil muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan berhujah yang tidak mengharamkan. Walau bagaimanapun, majlis itu belum mengeluarkan lagi sebarang fatwa mengenai ESQ itu.

Hujah lawan hujah

Maka di sana masing-masing sudah ada hujah. Justeru jika mahu menolak hujah Mufti Wilayah Persekutan itu, perlulah pihak yang hendak menolak itu menjawab atau memperbetulkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu. Langkah berlaku adil terhadap fatwa mufti itu amat baik. Dalam kaedah muzakarah pun, apabila berhujah perlu dijawab dengan hujah dan hujah mana yang boleh disepakati menepati ajaran Islam, maka hujah itu diterima sebagai benar.

Dalam kes ESQ, pihak Mufti Wilayah Persekutuan sudah membutirkan 10 hujah yang mempamerkan ESQ bercanggah dengan Islam dan jika ingin menafikan hujah itu, perlulah dijawabkan kesemua 10 hujah tersebut dengan hujah Islam yang lebih sahih dan menepati hukum. Mana yang dinilai bercanggah dan tidak benar tentang ESQ hendaklah diperbetulkan agar selari dengan Islam.

Fatwa mufti mendahului

Malangnya, sehingga kini pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) belum bersidang untuk memutuskan fatwa mengenai ESQ. Jawatankuasa itu hanya baru bermuzakarah sahaja. Sedangkan pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah mendahuluinya. Kenapa lambat sangat? Mungkin belum cukup kajian dibuat. Sedangkan sebelum ini Panel Kajian Aqidah Jawatankuasa Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikatakan telah melakukan kajian (antara Ogos 2008 hindaa Februari 2009) dan menyimpulkan ada modul ESQ yang bercanggah dari segi akidah dan syariah. Namun, perkara itu tidak disusuli dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa MKI. Dalam hal ini, nampaknya Mufti Wilayah Persekutuan lebih prihatin dan bersistem dalam menjalankan tugas sehingga mendahului Jawatankuasa Fatwa MKI. Demikianlah mufti itu melaksanakan prinsip tugas didahulukan dan fatwa diutamakan.

Fatwakan di peringkat kebangsaan

Dalam menyelesaikan kekeliruan atau kekaburan serta percanggahan tentang penerimaan kursus motivasi ESQ ini, sebaiknya muzakarah dapat diadakan sekali lagi. Muzakarah itu penting bagi memahami realiti kursus ESQ sebelum difatwakan di peringkat kebangsaan. Setidak-tidaknya dapat memandu masyarakat yang berminat dengan ESQ memahami isu agama sebenar yang tersirat di sebalik kursus yang diikuti nanti. Paling utama, kandungan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan itu dapat dijadikan bahan untuk dimuzakarahkan. Berpandukan hujah mufti itu sebagai bahan perbincangan diyakini banyak persoalan dapat dirungkaikan. Paling penting dirungkaikan adalah apa yang tersirat dan tersurat asas Islam di sebalik pendekatan motivasi diri yang memberi makna E (emotion), S (spiritual) dan Q (quotient) atau dipermudahkan sebagai kecerdasan emosi dan spiritual yang kini mencandui segelintir masyarakat yang mencari kesedaran akidah dan akhlak Islam serta kesungguhan diri ke arah terbaik.

Oleh kerana itu, ia tidak padan dengan pengumuman mufti-mufti untuk menjawab semua persoalan yang keliru mengenai pengisian kursus ESQ. Misalnya, Sinar Harian (9 Julai 2101) menyiarkan jawapan Mufti Perak yang menghukumkan motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan dan tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.

Bagaimana pula dengan hujah Mufti Wilayah yang memfatwakan kursus ESQ itu adalah mendukung fahaman liberalisme dan pluralisme-agama. Bukti dengan hujahnya berlaku dalam kursus ESQ amalan mentafsir nas-nas agama secara bebas dan mengajar peserta berfahaman semua agama adalah sama dan benar.

Masyarakat ingin tahu, apakah hujah Mufti Perak lebih menepati hukum berbanding Mufti Wilayah Persekutuan, sedangkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan sudah dapat dibaca.

Langkah penyelesaian

Langkah ke arah penyelesaian amat wajar memandangkan alumni atau lepasan kursus ESQ ini sudah puluhan ribu. Berpandukan kenyataan Mufti Selangor (Sinar Harian 12 Julai), pihak berwajib fatwa belum memutuskan apa-apa fatwa, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa MKI dapat bertindak cepat sebelum kekhilafan menjadi lebih kusut. Apa yang utama, pihak Jawatankuasa Fatwa MKI itu dapat menjadi penyelesai muktamad sesuai dengan fungsinya ke arah menyelesaikan masalah-masalah keagamaan kini melanda masyarakat Islam yang melalui atau akan melalui kursus ESQ.

Di mana perginya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diberi tanggungjawab memajukan Islam di negara ini? Seharusnya Jakim bertindak secara produktif dan aktif. Jangan pula Jakim dilihat sebagai agensi pusat yang cepat dalam hal ehwal politik pemerintah seperti isu Wahabi dan Syiah sahaja. Semoga bergandingan baik Jawatankuasa Fatwa MKI dengan Jakim. Perbetulilah mana yang tersilap. Kini isu ESQ sudah kelihatan tersilap, maka perbetulkan demi kemajuan seluruh umat Islam.

Kenapa perlu sangat ESQ

Sebenarnya dalam pokok ajaran Islam telah terkandung nas yang cukup bagi memotivasi diri, alam pekerjaan dan bermualamat dengan persekitaran hidup kita. Justeru apa perlu sangat mengikuti kursus ESQ. Sampai ia semacam fenomena bagi organisasi termasuk sektor awam mengikuti kursus ESQ. Sedangkan Islam yang didatang khusus oleh Allah SWT adalah mencapai makam tertinggi dan paling sempurna dan lengkap di dalam menyantuni seluruh aspek kehidupan manusia.

Tambahan pula ESQ adalah ciptaan manusia yang hanya bertaraf khalifah di bumi, lalu ia terdedah dengan segala macam kerendahan dan kekurangan. Oleh itu, munasbahnya kursus ESQ itu dipersembahkan dengan pelbagai seni pendorong, meskipun memakai nilai-nilai yang bersumberkan bukan dari Islam.

Kaji pengalaman Kelantan

Oleh sebab itu, sewajarnya umat Islam mengetahui dan menyakini bahawa pokok ajaran Islam dalam konteks motivasi diri, kecerdasan dan kerohanian telah ada nilai terasnya, iaitu ubudiah (pengabdian), masuliah (tanggungjawab) dan itqan (cemerlang), ringkasnya UMI. Pihak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan telah memakmurkan pentadbiran negeri Kelantan berteraskan UMI ini selama 20 tahun dan terbukti menghasilkan natijah yang berintegriti. Maka, penghuraian apa makna sekalipun atas nama Islam yang bertujuan mencari kebaikan dan kehebatan diri mestilah berpandukan kepada prinsip nilai teras UMI ini. Ini kerana teras UMI ini adalah relevan dan mempunyai kekuatan untuk memandu manusia menjalankan apa sahaja urusan dengan Allah SWT, urusan sesama manusia dan dengan alam sejagat.

Sehubungan itu, apabila menelusuri pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam isu ESQ ini, maka seruan kepada pihak yang begitu kagum dengan kursus ESQ itu (sehingga sanggup mempertahan dan membelanya) sewajarnya diteliti beberapa persoalan untuk dijawab. Antara persoalannya, pertama kenapa kita mudah terpengaruh dengan pendekatan-pendekatan baru, sedangkan ajaran Islam sebagai ad-din telah sempurna. Islam adalah dari Allah Tuhan Yang Maha Pencipta yang bersifat milik hakiki dan kalimah Allah.

Kedua, apa perlu kita fikir dan rumuskan ‘barang’ yang telah ada di dalam Islam, apa hebatnya kursus ESQ itu jika dibandingkan pendekatan Islam yang meletakkan pendorong utama kehidupan adalah pahala/dosa, syurga/neraka, ikhlas/riak/takabur dan iman/kafir/munafik. Bagi insan yang bergelar manusia sebagai khalifah Allah di bumi, bermula akhil-baligh seharusnya telah memilih jurus hidupnya yang memenuhi perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Ini bermakna pilihan tepat adalah mengutamakan iman, berniat ikhlas, mengharapkan syurga Allah dan menjadikan pahala sebagai bekalan menghadapi alam akhirat.

Ketiga, sekiranya kita merasai dengan mengikuti kursus ESQ kita berupaya mencapai kebijaksanaan dan kecemerlangan, apakah kita telah memahami hakikat Islam, iman dan ehsan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sedangkan di dalam Islam terlalu banyak ruang untuk kita mencapai kecerdasan rohani dan emosi malah jasmani serta kualiti kerja. Antaranya mengamalkan doa harian, solat fardu, amalan sunat, bersedekah dan seumpamanya yang sukatannya telah dirumus sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, tidak semestinya kursus ESQ satu-satunya ruang untuk kita mencapai kecerdasan atau ruang untuk kita menunjuk-nunjuk kebijaksanaan.

Keempatnya, apa jaminan ESQ akan membantu kita mencapai rahmat Allah SWT dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Adakah dengan mengkuti kursus ESQ akan membawa kita ke syurga? Sedangkan, kekeliruan yang timbul sekarang (berikutan persimpangan hujah antara Mufti Wilayah Persekutuan dengan beberapa mufti negeri lain) telah menelanjangkan hakikat ESQ adalah sebenarnya tidak sempurna dari segi akidah dan syariat Islam. Ketidaksempurnaan itu harus diuruskan terlebih dahulu dan sebarang kekeliruan hendaklah diperjelaskan demi memurnikan akidah dan syariat masyarakat Islam. Sesuatu yang sempurna sahaja akan mendapat nilai kasih-sayang dari Allah SWT.

Kelima, realiti di dalam Islam, al-Quran adalah rujukan mutlak dan Nabi Muhammad SAW merupakan ikutan dan idola kepada sekalian umat dan alam semesta. Sesungguhnya al-Quran adalah perlembagaan hidup dan Nabi pula adalah idola terbaik (khudwah hasanah). Mungkin dengan kekeliruan yang ada, ESQ sudah berada pada persimpangan antara al-haq dan al-bathil. Kedudukan tersebut sekaligus menafikan signifikannya kandungan kursus ESQ boleh dijadikan asas rujukan, jauh sama sekali untuk meletakkan pengasasnya A. G. Gustian sebagai idola yang mampu mendekatkan hakikat keinsanan yang selari dengan sukatan al-Quran.

Keenam, apabila menghayati dan menerima pakai kajian Mufti Wilayah Persekutuan berhubung dengan amalan fahaman-fahaman selain Islam, akhirnya umat Islam akan terperangkap dengan kekufuran yang nyata. Dalam kajian mufti tersebut (bertajuk Kertas Gerakan Islam Liberal di Indonesia dan kaitan dengan ESQ, boleh diakses di laman www.muftiwp.gov.my/) yang memetik fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI), pihak MUI telah mengharamkan umat Islam mengikuti faham pluralisme, sekularisme dan liberalisme agama. Bersesuaian pula dengan penemuan mufti tersebut bahawa di dalam ESQ adanya unsur fahaman ini, maka wajarlah asas-asas motivasi diri untuk mencapai kelebihan kerjaya dapat dibuat penilaian semula sehingga suatu penyelesaian atas kekeliruan diketemukan. Ada baiknya kita kembali kepada kaedah Islam berasaskan kandungan al-Quran yang menganjurkan prinsip bekerja berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan dijadikan panduan utama.

ESQ perlu permurnian akidah

Akhirnya, jika benar apa yang dihujahkan tentang ESQ itu mengandungi unsur campur aduk yang merosakkan akidah dan syariat Islam, sewajarnya kita mengelak dan menjauhinya. Kepada pihak berkuasa agama Islam terutama Jakim dan jabatan mufti setiap negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada pengharaman Pertubuhan al-Arqam suatu masa dahulu. Asas pengharaman itu berpunca daripada amalan tarikat yang berlaku di luar konteks akidah dan syariat apabila mempercayai manusia biasa bakal bangkit semula sebagai nabi dan amal ibadatnya pula bertaksubkan manusia. Demikian pula, seketika dahulu sekitar 1950-an pernah berlaku amalan kerohanian bernama Subuk di Kelantan yang menggunakan pendekatan campur aduk pelbagai kepercayaan turut diharamkan. Begitu pula, sebelum ini (Oktober 2008) amalan Yoga di kalangan umat Islam telah diharamkan kerana ia bukan sahaja salah satu cabang agama Hindu malah di dalamnya ada bacaan yang bercanggah dengan akidah Islam.

Oleh itu, sewajarnya di dalam isu ESQ ini umat Islam hendaklah bertindak secara cermat dari segi penglibatan dan pengamalannya, atau perlu dilakukan pemurniaan isi kandungan kursus itu agar tidak terpalit dengan permasalahan campur aduk akidah yang boleh membawa kepada kesyirikan atau kekufuran.

Oleh:Wan Nik Wan Yussof

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Sunday, July 4, 2010

Zikrullah 1 Ustaz Zulkarnain

Rabbani-Pergi Tak Kembali

Bidadari Dan Penghuni Syurga

Sejarah dan Cerita di sebalik Rejab


Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.

Peristiwa Penting

1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu. (Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Amalan

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.

Sumber Disediakan oleh;
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Melaka